11 April 2011

[INFO] SOLAT: MENDAKAP TANGAN KETIKA BERDIRI

Selepas takbiratulihram, kedua-kedua belah tangan hendaklah didakapkan. Bagaimanapun, para ulama telah sepakat bahawa tiada dalil yang mewajibkan kedudukan tangan seumpama ini dan ia bukanlah rukun mahupun syarat sah solat. Ia hanya sunat menurut beberapa mazhab.

Hujah mereka kerana dalam sebuah hadis ketika Nabi Muhammad s.a.w. mengajar seorang lelaki yang teruk cara solatnya, maka apa bila Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh lelaki itu solat semula dan mengajarnya cara solat, Baginda tidakpun menyebut tentang kedudukan tangan. (Riwayat al- Bukhari dan Muslim)

Maka ini membuktikan bahawa ia bukanlah perkara yang wajib. Demikian pandangan Imam al-Syawkani, yang juga diutarakan oleh Syeikh Atiyyah Saqar dan lain-lain. (Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsan al-Kalam, jil. 1, hlm. 484)

Walaupun demikian, meletakkan tangan pada kedudukan sedemikian adalah salah satu sifat kebiasaan solat Nabi Muhammad s.a.w.

Dalil Berdakap Tangan

Berikut adalah beberapa hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang menyebut tentang kedudukannya:

  •  Sahabat Nabi bernama Wail r.a. menggambarkan sifat solat Nabi dengan katanya : “Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya dan pergelangan dan awal lengan.” (Riwayat Muslim dan Ahmad)
  • Daripada Ibn Mas’ud r.a., beliau menceritakan: “Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. lalu disebelahku ketika aku sedang solat, tatkala itu aku meletakkan tangan kiriku di atas tangan kananku,  maka Nabi Muhammad s.a.w. membetulkan lalu meletakkan tangan yang kanan di atas yang kiri.” (Riwayat Abu Daud no.755)
  •  Daripada Wali bin Hujr berkata: “Aku solat bersama Nabi Mumammad s.a.w. dan Baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya lalu diletakkan di atas dadanya.” (Riwayat Ibn Khuzaimah)
  • Daripada Abi Jarir daripada ayahnya yang bermaksud : “Aku melihat Ali memegang tangan kirinya dengan yang kanannya di sendinya lalu diletakkannya di sebelah atas pusatnya.” (Dalam sanat ini terdapat Abu Talut Abdul Salam bin Abi Hizam. Abu Duad mengkritiknya)
  •  Ali meriwayatkan: “ Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. meletakkan telapak tangan di atas telapak tangan yang lain dan diletakkan di bawah pusat.” (Riwayat Abu Daud. Abu Daud mengkritik hadis ini: “Aku mendengar Imam Ahmad bin Hanbal mengatakannya daif.”)
Kesimpulannya daripada hadi-hadis di atas dan lain-lain, terdapat beberapa cara berdakap tangan.

Sumber : SOLUSI isu 30

No comments:

Post a Comment