05 December 2011

(INFO) Solat : Mengangkat Jari Ketika Duduk Tasyahud

Isyarat Jari Semasa Tasyahud

Hadis yang terdapat dalam bab isyarat “musabbihah”.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “ Nabi s.a.w. apabila duduk semasa solat, Baginda meletakkan kedua-dua tangannya di atas lutut dan menaikkan jarinya yang selepas ibu jari (jari telunjuk) dan kemudian berdoa ketika itu.” (Riwayat Muslim, no. 113)

Daripada Ali bin al-Ma’awi bahawa beliau bersolat di sebelah Ibn Umar r.a. dan padanya Abu Bakar, berkata: “Aku nampak Abu Bakar al-Siddiq menggengam tiga jarinya dan menegakkan jari telunjuk.” (Riwayat Humaidi)

Kefahaman daripada dua hadis di atas ialah, riwayat pertama dan kedua daripada hadis sahih di atas menjelaskan dengan terang, sunnah Nabi s.a.w. untuk menaikkan jadi telunjuk. Walau bagaimanapun, dalam kedua-dua hadis di atas, tiada yang menyebut tentang Nabi s.a.w. menggerakkan atau menggoyangkannya. (Kajian pentahqiq dalam Nuzhah a-Nazr Tawdih Nukhbat al-Fikr, Dr. Abd Sami’ al-Anis, hlm.146)

Berkata para ulama, dikhaskan jari telunjuk ketika tasyahud kerana kaintannya, ia bersambung terus ke hati, maka dengan menggerakkannya dapat mendatangkan kekhusyukan. (Subul al-Salam, jil. 1, hlm. 363)

Hikmah Menaikkan Jari Ketika Tasyahud

Jawapan diperoleh daripada Ibn ‘Abbas r.a. ketika beliau ditanya soalan yang sama, beliau menjawab: “Ia adalah tanda ikhlas.” (Riwayat al-Baihaqi)

Imam al-Nawawi pula berkata selepas itu: “Memberi isyarat (menaikkan jari) yang dihalakan ke arah kiblat dan berniat ketika itu ‘tauhid’ dan ‘ikhlas’.” (Sharh Sahih Muslim)

dipetik dari majalah SOLUSI#38

1 comment: